Monday, March 5, 2007

HADIRMU TAK DIRASA, HILANGMU DICARI



Sudah lumrah hidup, Bila ada, Orang tidak kenal. Bila sudah tiada, Orang akan mencarinya. Begitu juga dengan beliau yang pada hayat beliau, orang tidak mengenalinya. Biar apa yang beliau lakukan dan buat, orang tetap tidak pernah ambil tahu. Hanya keluarga terdekat yang tahu dan menghargai.

Orang tidak kenal siapa Haji Hussin bin Haji Mustapa, yang berniaga menjual ikan di Pasar Gadong. Malah pelanggan beilau pun tidak semua mengenal nama beliau. Jauh sekali untuk ambil tahu latar belakang beliau.

Namun, pada tanggal 10hb. Februari, 2007, seluruh rakyat Brunei telah mengenal beliau. Nama beliau disebut dari mulut ke mulut.. Tetapi nama itu hanya disebut setelah beliau meninggalkan keluarga beliau. Meninggalkan seribu kenangan manis kepada anak isteri beliau. Malah semua keluarga beliau mengenang beliau dengan sifat rendah diri beliau.

Bukan kerana apa yang beliau lakukan atau persembahkan menyebabkan beliau dikenali di seluruh Negara, tapi, atas nasib yang menimpa beliau sehingga meninggalkan satu kesan yang sangat mendalam kepada keluarga beliau.

Hingga hari ini, masih tidak dapat dibayangkan bagaimana nasib beliau semasa beliau dijemput ajal. Malah terlalu berat untuk diungkapkan dengan kata-kata. Yang pasti, beliau mengadap Ilahi tanpa didampingi oleh keluarga beliau. Itulah janji kita, Janji yang kita ucap sewaktu kita dilahirkan: “Hidupku, dan Matiku hanyalah keranaMu.”.

Setelah kejadian yang penuh “kejam” tersebut, nama beliau yang telah menjadi Arwah selalu disebut-sebut. Malah pelanggan Arwah pun baru mengenal bahawa orang yang sering mempamirkan senyuman di bangku ikan tersebut adalah Arwah. Dan segalanya telah berakhir dengan rasa yang bercampur baur.

Ada yang marah pada pemandu Pick Up tersebut, ada yang benci pada bangsa pemandu tersebut, tidak kurang jua yang merasa kesal dengan keadaan. Tapi apakan daya, segala Qada dan Qadar telah sempurna pada masa tersebut.

Yang tinggal hanyalah kenangan. Dan kenangan itu tidak mungkin hilang pada keluarga Arwah. Malah pada anak-anakku, ku seru agar mereka tidak akan menghapus gambaran wajah Arwah dari memori mereka. Agar mereka sentiasa ingat, bahawa suatu ketika dulu mereka mempunyai seorang bapa saudara yang berhati mulia dan berjiwa luhur.

Biar Arwah mempunyai segala kekurangan, namun Arwah berjaya dalam menjaga nama baik keluarga bahagia Arwah hingga dipandang sempurna oleh mesyarakat tanpa diketahui bahawa Arwah hanya seorang insan yang bekerja sendiri.

Masih ku ingat, bagaimana arwah bersusah payah untuk memenuhi semua permintaan orang. Tidak pernah keluar dari mulut Arwah “Inda ku dapat”, “Alum tantu ku dapat menolong”, “Payah tu eh…” atau apa jua ayat yang menggambarkan bahawa Arwah tidak dapat membantu melainkan Arwah akan melakukan apa saja demi memenuhi permohonan orang.

Sekalong pujian juga diberikan kepada keluarga Arwah kerana tidak pernah membantah Arwah dalam usaha Arwah menolong orang biar mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Arwah akan “lalah” akibat usaha Arwah.